welcome to 3a4 official blog (: we know this blog is some ugly, but enjoy it. please LIKE the post after read yeahh ,thanks ;)

Friday, 15 July 2011

MERDEKA! MERDEKA!

Mengingati Detik Bahagia

Saat-Saat Terakhir

Pilihan raya umum yang pertama ditandingkan pada tahun 1955. Parti-parti seperti PAS, Parti Negara di bawah pimpinan Dato' Onn bin Jaafar, Parti Buruh, Parti Progresif Perak, Parti Perikatan UMNO-MCA-MIC dan sebagainya bertanding dalam pilihan raya umum tersebut.Parti Perikatan UMNO-MCA-MIC memenangi 51 kerusi daripada 52 kerusi yang dipertandingkan. 1 kerusi lagi dimenangi oleh PAS. Dengan kemenangan dalam pilihan raya, kabinet kerajaan telah dibentuk. Tunku Abdul Rahman menjadi Ketua Menteri yang pertama.

Pada tahun 1956, Tunku Abdul Rahman mengetuai suatu rombongan ke London untuk membincangkan perkara-perkara mengenai kemerdekaan. Rundingan ini mengambil masa tiga minggu di London. Perjanjian London 1956 ditandatangani pada 8 Februari 1956 yang menyatakan persetujuan memberi kemerdekaan kepada Tanah Melayu. Sekembali ke Tanah Melayu, Tunku Abdul Rahman mengumumkan tarikh kemerdekaan di Melaka.
Pada tahun 1956, suatu Suruhanjaya Perlembagaan Komanwel ditubuhkan untuk menggubal perlembagaan. Suruhanjaya Perlembagaan Komanwel atau lebih dikenali sebagai Suruhanjaya Reid yang dipengerusi oleh Lord Reid dari Britian terdiri daripada pakar-pakar undang dari negara Komanwel. Laporan yang dikeluarkan oleh Suruhanjaya Reid dipinda oleh Jawatankuasa Kerja dan diluluskan oleh Majlis Undangan Persekutuan.

Bendera Union Jack iaitu bendera British diturunkan di hadapan Bangunan Sultan Abdul Samad, Kuala Lumpur pada tepat pukul 12 malam 31 Ogos 1957. Kemudian, Perdana Menteri Persekutuan Tanah Melayu, Tunku Abdul Rahman mengisytiharkan kemerdekaan di Stadium Merdeka. Jemaah Menteri diumumkan juga pada hari pengisytiharan kemerdekaan. 

Merdeka!Merdeka!

Apabila tarikh Kemerdekaan telah ditentukan, Tunku telah mengarah Jabatan Kerja Raya untuk membina sebuah stadium terbuka yang akan dijadikan tempat pengistiharan Kemerdekaan. Tunku memilih sendiri lokasinya, di sebuah bukit yang rendah berdekatan Jalan Birch dan stadium itu dinamakan 'Stadium Merdeka'.
Stadium Merdeka 5.00 pagi, 31 Ogos 1957, hujan turun dengan lebatnya. Dato' Abdul Razak yang melawat Stadium pada pagi itu gelisah dengan takungan air di tengah-tengah padang di mana Askar Melayu akan mengadakan perbarisan kehormat. Dato' Razak adalah Timbalan Pengerusi, Jawatankuasa Persiapan Kemerdekaan dengan Tunku sendiri adalah Pengerusinya.
7.00 pagi, hujan mulai reda. Dato' Razak menalifon Tunku dan melaporkan keadaan di stadium. Beliau mencadangkan agar ketibaan Raja-raja Melayu, Duke serta isteri dan Pesuruhjaya Tinggi dilewatkan satu jam.
9.00 pagi, langit mulai cerah, rintik-rintik hujan semakin mengecil dan hilang dari pandangan. Perabut dan perhiasan mula dibawa keluar dengan kadar segera. Tunku telah bersiap sedia di rumahnya. Berbaju Melayu hitam, berkain samping, berselitkan keris bersarong gading dipinggang serta bertengkolok songket, Tunku menantikan saat untuk bertolak.
Di Stadium Merdeka, Tunku berdiri gagah menerima ketibaan Duke of Gloucester yang memakai pakaian istiadat ketenteraan British berpangkat Field Marshall. 'God Save The Queen' berkumandang ketika Duke of Gloucester yang merupakan pakcik Queen Elizabeth II masuk dan mengambil tempat. Duke telah diiringi oleh Pesuruhjaya Tinggi British, Sir Donald MacGillivray.
Raja-raja Melayu pula duduk dipayungi oleh sembilan payung kuning, Yang DiPertuan Agong pula duduk di tengah-tengah, di kirinya Tunku dan di kanannya Duke.
Duke kemudiannya menyerah 'Instrumen Kemerdekaan' yang mana merupakan suatu pengakuan British bahawa ia menyerahkan kedaulatan Pulau Pinang dan Melaka kepada negara baru ini dan seterusnya menarik balik 'perlindungan' yang diberikan kepada negeri-negeri Melayu.
Tunku kemudiannya membacakan pengistiharan Kemerdekaan yang antara lainnya menyebut "Dengan nama Allah, Persekutuan Tanah  Melayu untuk selamanya sebuah negara yang demokratik dan Merdeka". Acapkali suaranya tenggelam dan pekikan Merdeka! Merdeka! Merdeka! oleh rakyat sebuah negara baru yang lahir dari suatu perjuangan yang suci.
Seorang anak bangsa yang menyaksikan segalanya di depan mata, menghuraikan pengalamannya, Hujan renyai-renyai menghiasi pagi. Tanpa disedari linangan air mata membasahi pipi. Stadium Merdeka dibanjiri oleh anak-anak bangsa yang datang dari setiap pelusuk negeri. Masing-masing hadir dengan harapan yang tinggi. Menjadi saksi, satu peristiwa yang penuh bererti, yang tidak akan dilupai tersemat disanubari sampai mati. Merdeka telah kita miliki 'Merdeka! Merdeka! Merdeka!

Jihad Kerana ALLAH


ALLAHUAKBAR!!!

Mat Hassan atau Tok Janggut adalah anak panglima Munas yang dilahirkan di Kampung Saring, Jeram. Dia dibesarkan di istana Raja Jeram oleh bapanya yang juga Panglima Tengku Seri Maharaja Jeram. Ilmu pendekar dipelajari daripada mahagurunya, Datuk Mingkong Bujur Legeh dan didikan agama pula daripada Panglima Munas sendiri. Semangatnya untuk menentang penjajah mendapat sokongan daripada cicit pengasas kerajaan Kelantan iaitu Tengku Besar Jeram. Bagaimanapun, Inggeris memutarbelitkan sejarahnya dan mengecap Tok Janggut sebagai penjenayah. Sejarahnya yang berakhir di tali gantung masih boleh dibaca di Muzium of England. 

Kehadiran sekumpulan pejuang dari Pahang yang menjadi buruan Inggeris pada tahun 1890-an dan bersembunyi di mukim Jeram turut menyemarakkan lagi semangatnya menentang penjajah. Tok Janggut yang juga panglima kepada Tengku Seri Maharaja Jeram Tengku Seliya terpengaruh dengan gerakan anti Inggeris yang dipelopori Tok Gajah, Mat Kilau, Datuk Bahaman dan Mat Kelantan. Dia juga tidak dapat menerima corak pentadbiran penjajah yang melantik 'orang luar' dikenali Abdul Latif sebagai Ketua jajahan yang dianggap tali barut penjajah. Kehadiran Abdul Latif yang menindas rakyat dengan pelbagai cukai tidak menyenangkannya. Ini kerana, tindakan itu menekan rakyat yang sebelum ini tidak pernah dibebankan dengan masalah itu.

Sebenarnya penentangan awal Tok Janggut bermula apabila beliau mengarahkan pengikutnya memulau pembayaran cukai kepada kerajaan Inggeris. Akibat daripada pemulauan tersebut cukai daerah Bukit Abal dan Gaal menurun secara mendadak daripada RM3.000 kepada $89.32. Ini membuktikan sentimen anti-Inggeris yang dipelopori Tok janggut berjaya mempengaruhi masyarakat Pasir Puteh.

Tindakan Kesultanan Kelantan memihak kepada Inggeris ketika menentang empayar Uthmaniah di Turki dalam Perang Dunia Pertama turut mengecewakan Tok Janggut. Dia menentang sikap mengikut telunjuk penasihat Inggeris. Baginya, pengisytiharan jihad oleh Syeikh al-lslam, Khayri Effendi, mesti dipatuhi kerana Inggeris adalah musuh umat Islam.


Pada 29 April 1915, Tok Janggut berkumpul dengan pengikutnya untuk bermesyuarat di rumah Tok Nik Bas di Kampung Tok Akib bagi mengatur strategi menentang Inggeris dan mengisytiharkan kemerdekaan Pasir Puteh. Bagaimanapun, pertemuan sulit itu diketahui Abdul Latif sehingga satu waran tangkap dikeluarkan oleh Ketua Rumah Pasung Pasir Puteh, Sarjan Che Wan Sulaiman untuk menangkap Tok Janggut. Sarjan Che Wan Sulaiman bersama dua anggotanya ke rumah Tok Nik Bas dan meminta Tok Janggut menyerah. Bagaimanapun, Tok Janggut enggan menyerah, sebaliknya terpaksa menikam Sarjan Che Wan sehingga mati.

Berikutan itu, Abdul Latif menghantar lapan lagi anggota untuk menahannya tetapi gagal. Abdul Latif bersama kuncunya, termasuk Kweng Tuan Muda Jeram dan Kweng Awang Hamat Semerak bertolak ke Kota Bharu melalui Sungai Semarak kerana bimbang diserang pemberontak. Mereka melaporkan kejadian itu kepada penasihat Inggeris Kelantan.

Tok Janggut dan pengikutnya menyerang bandar Pasir Puteh dan mengisytiharkan Tengku Besar Jeram sebagai raja, manakala dia sendiri sebagai Perdana Menteri. Dia sanggup menghadapi ancaman Inggeris dan tali barutnya, asalkan bumi Pasir Puteh merdeka. Penasihat Inggeris Kelantan, Langham-Carter, cuba memperalatkan Sultan Muhammad ke-IV untuk menyekat kemaraan Tok Janggut dan melemahkan pengaruh Inggeris di kalangan orang Melayu. Atas desakan Inggeris dan sokongan pembesar istana, Sultan Muhammad ke-IV mengisytiharkan Tok Janggut dan penyokongnya sebagai penderhaka. Waran tangkap, termasuk tawaran hadiah lumayan dikeluarkan kepada orang ramai untuk menahan Tok Janggut sama ada hidup atau mati.


Pada 5 Mei 1915, askar Inggeris dan sukarelawan Melayu Singapura mendarat di Kota Bharu dengan kapal Calmus. Mereka berkawal di Kuala Semerak bagi menghalang bantuan asing kepada Tok Janggut. Kapal Calmus yang menggunakan empat meriam membedil 25 das tembakan sehingga memusnahkan bandar Pasir Puteh. Serentak itu, Kolonel Brownlow menghantar 50 tentera berkawal di Tanah Merah dan Gunung, Bachok bagi menghalang pengikut Tok Tanggut melarikan diri.


Akhirnya, rumah Tok Janggut dan pengikutnya dibakar. Penduduk Pasir Puteh diperas dan dikenakan 'denda' di antara RM1.000 hingga RM3.000 dan didesak menjelaskannya dalam tempoh 15 hari. Jika perintah itu diingkari, rumah mereka akan dibakar. Tekanan itu memaksa Tok Janggut mengisytiharkan jihad. Inggeris meningkatkan usaha menangkap Tok Janggut dan penyokongnya sehingga akhirnya dia ditahan dan dihukum bunuh, manakala penyokong kuatnya dipenjara seumur hidup.

Kebangkitan Tok Janggut adalah peristiwa penting dalam sejarah Malaysia. Kebangkitannya adalah reaksi awal orang Melayu Kelantan menentang penjajah, walaupun rakyat dikerah oleh istana untuk menahannya dengan pelbagai tawaran hadiah lumayan. Tok Janggut gugur syahid, kakinya digantung ke atas palang, manakala kepalanya ke bawah. Mayatnya diarak ke seluruh negeri, badannya dikelar dengan pisau dalam keadaan yang amat menghinakan.

Walaupun penjajah dan kuncu-kuncunya menuduh Tok Janggut sebagai penderhaka, sejarah membuktikan Tok Janggut adalah pejuang bangsa dan tanah airnya. Perjuangan yang dipeloporinya menjadi obor kebangkitan umat Melayu bagi menuntut kemerdekaan.

Perjuanganku Hingga Akhir Hayat...

“Rosli Dhoby dilabelkan sebagai pemberontak menentang Inggeris. Itu kata sebahagian pendapat yang tidak berfikir panjang,”
potret-rosli-dhoby21“Bagi saya, beliau adalah seorang pejuang dan bukan pemberontak,”
“Ya, memang beliau memberontak menentang Inggeris, tetapi siapakah Inggeris di tanah air sendiri?” kata Manaf Sepitang. Walaupun sudah berumur 73 tahun, namun masih bersemangat menceritakan sejarah perjuangan Rosli Dhobi.
“Inggeris adalah penjajah dan penjajah patut dihalau keluar dari tanah air kita,”
“Beliau bukan pemberontak, beliau ialah seorang pejuang bangsa Melayu dan pejuang kemerdekaan Sarawak walaupun tidak sepopular para pejuang Sarawak yang lain seperti Rentap dan Mat Salleh,” tegas Manaf mengakhiri perbualannya dengan penulis.
Sejarah Awal Perjuangan
Sebelum kedatangan Jepun, Sarawak dikuasai oleh penjajah rakyat British, Sir James Brooke dan keturunan keluarga Brooke. Sir James, Charles Brooke, Charles Vyner Brooke dan Sir Bertram adalah nama-nama keturunan beliau yang memerintah Sarawak sehingga tewas dalam perang dengan Jepun pada tahun 1941.
Perjuangan bangsa Melayu Sarawak bermula apabila Charles Vyner Brooke mahu menyerahkan Sarawak kepada Pejabat Kolonial di London selepas Perang pada tahun 1945.
Rosli Dhoby sorang anak muda Melayu yang dilahirkan pada tahun 1932 di Sibu, Sarawak.
Beliau mula menganggotai kumpulan Rukun 13 dalam Gerakan Pemuda Melayu Sarawak (GPMS) yang ditubuhkan bagi menentang penjajah Inggeris.
Usia beliau ketika itu baru mencapai 17 tahun dan beliau adalah seorang guru. Namun semangat juang bagi menentang British yang ingin kembali menguasai Sarawak selepas Perang Dunia Ke-2 cukup mengagumkan.
GPMS menggabungkan pemimpin-pemimpin Melayu Brunei dan Melanau Sarawak yang diketuai oleh Datuk Patinggi Abang Abdillah iaitu Perdana Menteri Sarawak di zaman Charles Vyner Brooke.
Sebelum keluarga Brooke menguasai Sarawak, keluarga Abang Abdillah adalah pemerintah Sarawak dan wakil Sultan Brunei, pengasas negeri Sarawak.
Rukun 13 ditubuhkan di Jalan Queensway, Sibu, pada 21 Februari, 1949. Tujuannya ialah untuk menikam Gabenor British, Duncan Stewart yang amat tidak popular di kalangan masyarakat bumiputera Sarawak kerana bersikap angkuh terhadap mereka.
Pembunuhan Gabenor British di Sarawak
Rukun 13 telah memilih Rosli Dhoby untuk menikam Sir Duncan yang dijadualkan melawat Sibu pada 3 Disember 1949.
Pada jam 9.30 pagi di hari tersebut, Rosli Dhoby telah menikam perut Sir Duncan dengan pisau tradisi Melanau yang dibubuh racun.
Rosli menjerit: “Keluar dari sini atau kamu mati!”
Rosli dan rakannya yang juga berketurunan Melanau, Morsidi Sidik, ditangkap oleh polis British.
Sir Duncan telah dihantar ke Hospital Sibu dan seterusnya ke Singapura untuk menerima rawatan rapi dan akhirnya meninggal dunia 7 hari selepas kejadian.
Pada 15 Disember, 1949, mahkamah menjatuhkan hukuman mati terhadap Rosli Dhoby dan 3 orang rakan beliau iaitu Morsidi Sidek, Awang Rambli dan Bujang Suntong.
Surat terakhir Rosli Dhoby
Berikut ialah surat yang ditulis beliau kepada keluarganya sehari sebelum digantung..
Kepada ibu bapaku yang dimuliai dan ditaati serta dicintai siang dan malam.
1. Selamat berpisah anakanda ucapkan di atas kematian anakanda yang dahsyat. Janganlah diingat-ingat dan dirayukan kerana itu memang sudah nasib dan takdir anakanda yang tak dapat dielakkan dan dimungkirkan lagi.
rosli_ditangkap2. Peliharakanlah adik dan kakak serta semua ahli kita – Berikan segala pelajaran sama ada `Sunat’ atau `Fardu’ kepada mereka.
3. Ampunilah dosa dan kesalahan anakanda dari merah tapak kaki dipelihara ayahanda dan bonda sehingga hari perpisahan anakanda. Dan halalkanlah makan minum anakanda.
4. Selimutilah jenazah anakanda dengan Panji Kebangsaan Sarawak.
5. Segala perkakas tulis menulis, buku dan pakaian anakanda itu, berikan semuanya kepada Adik Aini.
6. Sementara anak kecil Fatimah, berilah dengan nama ROSLI sempena memperingati anakanda.
7. Sampaikan salam hormat dan maaf serta selamat dari anakanda kepada ibu tua dan bapa saudara anakanda.
8. Ayahanda dan bonda serta ahli keluarga sekalian janganlah lupa mengamalkan kebajikan dan mendirikan sembahyang untuk bekalan istimewa ke alam yang kekal.
Salam sembah dari anakanda.
Rosli Dhoby
1 Mac, 1950.
Nota:
Datuk Aini Dhoby adalah seorang pengasas Barisan Rakyat Jati Sarawak dalam tahun 1961 bersama dengan Tun Ahmad Zaidi, bekas Ketua Menteri Sarawak ketiga dan Yang Dipertua Negeri Sarawak keempat Tun Abdul Rahman Yaakub, dan Ketua Menteri Sarawak keempat Tan Sri Dr Abdul Taib Mahmud.
Barisan Rakyat Jati Sarawak atau BARJASA kemudian dinamakan Parti Bumiputra Sarawak dan akhirnya, Parti Pesaka Bumiputra Bersatu Sarawak atau PBB)
Allahyarham Awang Rambli adalah ayahanda kepada pelakon dan penyanyi veteran Dayang Sofia yang terkenal sebagai pelakon dalam filem Allahyarham Tan Sri P. Ramlee berjudul Tiga Abdul.
Dayang Sofia juga adalah bekas isteri kepada Datuk Aziz Sattar, pelakon siri filem Bujang Lapok yang juga kawan karib P. Ramlee.
Rosli dan Morshidi mati di tali gantung pada 2 Mac 1950 manakala Awang Rambli dan Bujang Suntong pada 23 Mac 1950.
Mereka telah dihukum gantung sampai mati di Penjara Kuching, Jalan Tabuan, Kuching serta dikebumikan disitu juga tanpa batu nisan. Ini semua angkara pihak British yang tidak mahu rakyat Sarawak memperingati mereka dan akan menyebabkan kebangkitan penentang yang lain.
Kesimpulan
Mereka mati kerana berjuang menuntut kemerdekaan Sarawak daripada British.
Pada 2 Mac, 1996 keempat-empat pejuang ini dikebumikan semula di Sibu. Upacara rasmi ini dihadiri oleh Yang Dipertua Negeri Sarawak ke-5 Allahyarham Tun Ahmad Zaidi Adruce Mohamad Noor, iaitu sahabat mereka yang juga berketurunan Melanau.
Sempena kemerdekaaan baru-baru ini, marilah kita menghayati susah-payah dan semangat pejuang bangsa kita yang mahu membebaskan negara dari jajahan kuasa asing.
Walaupun merdeka dari penjajah Inggeris, namun hakikatnya kita masih lagi dijajah pemikiran dan budaya. Tepuk dada tanya selera.

Dato' Bahaman Menentang British

Asal
Abdul Rahman bin Tuanku Imam Nuh, lebih dikenali sebagai Dato’ Bahaman ialah orang besar yang menentang penjajahan Inggeris di Semantan, daerah kekuasaannya di Pahang, Tanah Melayu.
Bapa Dato’ Bahaman ialah Tuanku Imam Nuh yang berasal dari Bangkinang, Kampar, Riau. Ibunya pula ialah Rokiah Abdul Rahman, anak perempuan Tok Setia Perkasa Semantan yang berketurunan Bugis dari Sulawesi Selatan. Walaupun beliau dilahirkan di Rantau Panjang iaitu sebuah kampung di daerah Bentong, beliau banyak menghabiskan masa di Pekan kerana berkhidmat dengan Bendahara Ali iaitu ayahanda kepada Sultan Ahmad.
Dato’ Bahaman juga dikatakan pernah menjadi anak angkat kepada Bendahara Ali dan menjadi rakan sepermainan kepada Sultan Ahmad ketika mudanya. Apabila Sultan Ahmad menaiki takhta, Dato’ Bahaman terus menabur bakti kepada tanah airnya.
Dato’ Bahaman telah diangkat sebagai salah seorang Orang Besar Berlapan dan dianugerahkan dengan gelaran Dato’ Setia Perkasa Pahlawan Semantan kerana kerana beliau telah menunjukkan sikap serta kebolehannya sebagai panglima dalam perang saudara antara Sultan Ahmad dan adinda baginda Wan Mutahir serta memimpin pasukan Pahang untuk membantu Tengku Kudin dalam perang Saudara di Klang, Selangor. Selepas kematian Orang Kaya Indera Segara, Dato’ Bahaman telah dilantik oleh Sultan Ahmad sebagai Orang Kaya Temerloh. Dengan pangkat tersebut, kedudukan Dato’ Bahaman adalah sedarjat dengan Orang Besar Berempat dan seringkali diajak berunding oleh baginda Sultan Ahmad.
Seorang yang pandai bersilat dan mempunyai ilmu kebal, kelebihan ini telah menyebabkan Dato’ Bahaman digelarkan ‘Seman Tahan’ oleh penduduk di sekitar kawasan itu sehingga sungai yang tidak bernama ketika itu diberi nama Sungai Seman Tahan dan seterusnya menjadi tempat persinggahan Inggeris. Beliau tidak mengiktiraf pemerintahan Inggeris diPahang sejak awal lagi dan mencetuskan kebangkitan di Pahang.
Awal penentangan
Segala-galanya bermula pada Oktober 1888 apabila British melantik JP Rodger sebagai Residen Pahang. Pihak Inggeris sememangnya sudah lama mengintai peluang untuk menjajah Pahang dan peluang mereka terbuka apabila mengetahui Sultan Pahang bermusuhan dengan dengan adindanya, Wan Mansur. Rancangan Wan Mansur untuk menyerang Sultan Ahmad diketahui British dan bangsa asing itu mengambil kesempatan untuk berbudi kepada Sultan Ahmad dengan mematahkan cubaan serangan itu.
Melihat seolah-olah Sultan Ahmad sudah termakan dengan budi yang ditabur mereka, British mengutuskan Hugh Clifford untuk memujuk Sultan supaya menerima seorang residen untuk membantu baginda memerintah Pahang. British sebenarnya memasang helah untuk menjajah Pahang bagi membolehkan mereka memungut hasil bumi yang banyak di negeri itu. Pihak British seterusnya memujuk Sultan Ahmad bagi membolehkan pihak Inggeris campurtangan di dalam pemerintahan Pahang kerana mahukan hasil bumi Pahang seperti balak, bijih timah, getah, gading, rotan, emas dan padi.
Untuk menangani masalah campurtangan pihak Inggeris di Pahang, Sultan Ahmad mengadakan mesyuarat bersama Dato’ Bahaman, Tok Gajah dan pembesar-pembesar Pahang di Kuala Bera, Temerloh. Selepas mesyuarat sulit yang diadakan di Sungai Salan, Pulau Tawar, Jerantut, semua pihak membuat keputusan tidak bersetuju membenarkan campurtangan pihak Inggeris ke atas Pahang.
Pada tahun 1885, British telah mengangkat Wan Mansur, kekanda kepada Sultan Ahmad menjadi Raja Muda. Berikut berlakunya kematian seorang Cina di istana Sultan Ahmad telah menyebabkan Sultan Ahmad terpaksa menandatangani perjanjian membenarkan British campurtangan dalam pemerintahan Pahang. Walaupun pada mulanya baginda enggan menerima kehadiran bangsa asing, atas beberapa helah dan desakan dari British, Sultan Ahmad akhirnya terpaksa bersetuju untuk menerima seorang Residen British di Pahang.
JP Rodger pada mulanya hanya berkhidmat sebagai penasihat Sultan untuk memerintah negeri tetapi lama-kelamaan lelaki asing itu mula besar kepala. Dia mula mengambil alih urusan mentadbir Pahang serta masuk campur ke dalam adat dan agama penduduk tempatan. Rodger mula merangka pelbagai peraturan sesuka hatinya tanpa berunding dengan sultan atau pembesar negeri. Sultan Ahmad dipaksa meluluskan segala peraturan yang diperkenalkan olehnya. Antara peraturan diperkenalkan Rodger, ternyata melanggar adat resam orang Melayu. Antaranya ialah melarang penduduk membawa senjata atau keris sesuka hati.
Rodger juga melarang pembesar negeri memungut cukai walaupun sebelum itu, semua pembesar diberi mandat oleh Sultan untuk memungut cukai, sebaliknya, Rodger melantik pegawainya, E.A Wise untuk mengutip cukai. British juga melantik E.A Wise sebagai majistret dan pasukan polis di kalangan pegawai mereka bagi mengawal dan mengadili kes jenayah dan secara tidak langsung mengurangkan kuasa pembesar Melayu yang dipertanggungjawab menjalankan tugas berkenaan sebelum itu.
Tindakan Rodger menimbulkan kemarahan pembesar Melayu terutama Dato’ Bahaman. Beliau enggan tunduk kepada perintah British dan terus mengutip cukai di Semantan. Tindakan Dato’ Bahaman itu menyebabkan British menghantar surat amaran kepada beliau tetapi tokoh pahlawan itu tetap tidak mengendahkannya. Tindakan Dato’ Bahaman itu turut disokong penduduk yang enggan bertuankan bangsa asing di tanah air sendiri.
Ketegangan bermula pada bulan Disember 1890 ketika E.A Wise hendak mendirikan sebuah balai polis di Lubuk Terua yang terletak di kawasan Dato’ Bahaman, tanpa sebarang perundingan dengannya. Apabila Hugh Clifford, Pemangku Residen British Pahang, mengetahui hal tersebut, beliau menasihatkan Sultan dan baginda kemudian menitahkan Dato’ Bahaman supaya pergi ke Pekan agar perkara itu dapat disiasat. Oleh sebab Dato’ Bahaman enggan ke Pekan, Sultan mengeluarkan surat perintah yang melucutkan pangkat dan tarafnya sebagai Dato’ Setia Perkasa Pahlawan, Orang Kaya Semantan.
Oleh kerana perlucutan jawatannya oleh Sultan dipengaruhi oleh Inggeris, Dato’ Bahaman bersumpah akan menghalau orang-orang Inggeris keluar dari Pahang kerana mereka telah memalukannya.
Pada Oktober 1891, British menghantar 25 anggotanya ke Balai Polis Lubuk Terua bagi mengawasi tindak-tanduk Dato’ Bahaman. Kemuncak kepada kebiadapan British apabila pihak Inggeris menangkap 3 orang pengikut Dato’ Bahaman di Sungai Semantan ketika sedang memancing ikan. Ketiga-tiga orang pengikut Dato’ Bahaman itu dibawa ke rumah pasung Lubuk Terua untuk diadili dan dihukum. Pihak Inggeris menuduh Dato’ Bahaman menyuruh ketiga-tiga orang itu mencuri hasil hutan tanpa kebenaran dan memerintahkan Dato’ Bahaman ditangkap dan dihukum. Salah seorang pengikut Dato’ Bahaman yang telah ditangkap berjaya melepaskan diri dan memberitahu Dato’ Bahaman tentang rancangan jahat Inggeris.
Dato’ Bahaman kemudiannya meminta pihak Inggeris membebaskan penduduk yang ditahan sebaliknya pihak Inggeris menunjukkan sikap besar kepala dan enggan mengikut arahan berkenaan. Mereka berkeras membawa tahanan itu ke Balai Polis Lubuk Terua untuk ditahan dan dibicara. Kesabaran Dato’ Bahaman berakhir dan beliau bersama pengikutnya menyerang pasukan polis British ketika mereka dalam perjalanan membawa tahanan ke balai polis berkenaan.
Setelah mengetahui peristiwa di Semantan itu, pegawai-pegawai Inggeris Pahang menyediakan tentera untuk melawan penentang Melayu. Ekoran dari itu pada 21 Disember 1891, satu pasukan yang diketuai oleh Clifford dan Tengku Mahmud pergi ke Kampung Kelubi yang merupakan kubu kedua pertahanan Dato’ Bahaman. Di sini berlaku sekali lagi pertempuran antara pihak Inggeris dengan Dato’ Bahaman tetapi pihak Inggeris sekali lagi ditewaskan.
Pada Disember 1891, Tengku Mahmud bersama-sama dengan 200 orang pengikutnya, dan Hugh Clifford bersama-sama dengan 60 orang Sikh di bawah pimpinan Kapten Summer telah mengaturkan gerakan untuk menyerang dan menangkap Dato’ Bahaman dan orang-orangnya. Bagaimanapun gerakan ini menemui kegagalan setibanya di Kelubi kerana keengganan pasukan Melayu bekerjasama dengan pasukan polis Sikh. Pihak Inggeris yang diketuai Hugh Clifford mengalami kekalahan dan terpaksa berundur dan meminta bantuan dari Singapura.
Pada Januari 1892, pihak Inggeris telah memaksa Sultan Wan Ahmad untuk menamatkan kebangkitan Dato’ Bahaman di Pahang. Satu pasukan yang dinamakan “Gerakan Sultan” telah dilancarkan pada 22 Januari 1892 dengan kekuatan 800 orang. Seramai 140 daripadanya mempunyai senjat api yang dipimpin oleh Tengku Ali, Rodger (Residen Pahang), Panglima Garang Yusof, Saiyid Ali Badoh dan Abdullah dari Bera. Gerakan ini juga menemui kegagalan kerana selain daripada hanya dapat memusnahkan 11 buah kubu kecil termasuk Kubu Batu Ampar, jejak Dato’ Bahaman tidak dapat dikesan dan tidak ada tanda-tanda yang memungkinkan Orang Kaya Semantan itu dan pengikut-pengikutnya yang terdekat akan tertangkap. Pada awal bulan Februari, 1892, keadaan tegang dianggap telah berakhir. Untuk sementara waktu, daerah Semantan telah diletakkan dibawah jagaan Abdullah Bera.
Pada Mac 1892, pasukan Dato’ Bahaman berjaya menawan semula Lubuk Terua. Perjuangan Dato’ Bahaman menjadi lebih hebat kerana dibantu oleh Tok Gajah. Pihak Inggeris kalah dan Abdullah Bera terpaksa pulang ke Bera. Kubu Lubuk Terua dikawal oleh orang-orang dari Cempaka dan Buluh. Ternyata mereka bersimpati dengan gerakan penentangan Dato’ Bahaman terhadap Inggeris.
Pada Mei 1982, Inggeris telah menyerang Lubuk Terua lagi. Pejuang Pahang terpaksa berundur ke Kelantan dan Terengganu. Di Terengganu, Ulama Tok Ku Paluh telah menyemarakkan semangat pejuang Pahang untuk berjihad menentang Inggeris. Pada 14 Jun 1894, Kuala Tembeling dan Jeram Ampai berjaya ditawan oleh Dato’ Bahaman bersama 100 orang pengikutnya.
Pada 29 Jun 1894 sepasukan tentera kerajaan Inggeris yang diketuai oleh Jeneral Walker menyerang kumpulan penentang Inggeris yang diketuai oleh Datuk Bahaman, Tok Gajah, Mat Kilau dan Mat Kelubi di Jeram Ampai, Kuala Tembeling, Pahang. Dalam serangan itu Pemangku Penguasa Ulu Pahang bernama Wise, terbunuh bersama empat anggota polis. Serangan tersebut menyebabkan Mat Kilau berundur ke Kelantan. Ini menandakan berakhirnya perang menentang Inggeris di Pahang.
Sir Hugh Clifford, Residen Bristish di Pahang melancarkan serangan secara besar-besaran yang menelan belanja yang banyak, memburu mereka hingga ke Terengganu dan Kelantan.
Gerakan itu dihentikan pada bulan November 1995 apabila Datuk Bahaman, Pawang Nong dan Mat Lela dikatakan menyerah diri kepada kerajaan Siam tetapi diberi tempoh perlindungan dan ditempatkan di Chiengmai pada awal 1996, manakala Tok Gajah dan Mat Kilau diberitakan meninggal di Terengganu.
Kebangkitan Dato’ Bahaman selama 4 tahun (1891-1894) telah menyebabkan pihak Inggeris menanggung hutang yang banyak. Sultan Ahmad dipaksa membayar sebanyak 7200.00 dollar setahun bagi menyelesaikan hutang tersebut.
Pengistiharan persetiaan
Semasa berada di Bunut Payung Kelantan, Dato Bahaman, Mat Kilau, Mat Lela & Mat Kelubi membuat satu pengistiharan persetiaan memberitahu bahawa mereka telah meninggal dunia.
Percubaan bunuh Dato’ Bahaman dan pengikutnya
Percubaan membunuh Dato’ Bahaman dan pengikutnya berlaku di Kuala Lebir, dekat Kota Baru pada tahu 1896. Satu jamuan makan serabai dan bubur jagung muda telah diadakan oleh orang besar adik beradik iaitu Wan Ngah, Wan Nik, Dato’ Lela dan orang besar Lebir. Seramai 15 orang termasuk 8 orang besar Kelantan dan Siam serta 7 orang pejuang Pahang. Kuih Serabai, bubur jagung muda dan air minuman yang dijamukan telah dibubuh racun. Mat Lela telah melarang Dato’ Bahaman dan kawan-kawannya dari menjamah hidangan yang beracun tersebut. Akhirnya, pembesar Kelantan dan Siam yang khianat memohon maaf dan mengakui kesalahan mereka.
Persetiaan sumpah
Memandangkan keadaan tidak selamat, Dato’ Bahaman dan pengikutnya telah mengambil keputusan pergi ke Siam. Sebelum itu satu persetiaan telah dilakukan di Kg. Bukit Haji Pak Jedih, Tanah Merah, dimana para pejuang bersumpah akan menggunakan nama lain dan tidak akan mendedahkan siapa diri mereka sebenarnya. Seramai 7 orang terlibat dalam sumpah persetiaan itu, iaitu Dato’ Bahaman (Panglima Kakap), Mat Kilau (Mat Siam, Mat Dahan, Mat Dadu, Mohamed Ibrahim), Mat Lela (Kilat Senja, Gong Poh), Mamat Kelubi (Tok Janggut).
Pada tahun 1911, Dato’ Bahaman telah kembali ke Kelantan manakala Mat Lela pergi ke Indonesia, sementara 2 orang pejuang lagi telah meninggal dunia di Patani, Siam. Pada tahun 1920, Dato’ Bahaman balik ke Kuantan dan tinggal di Kg. Paya Lalang (Padang Lalang) dengan memakai nama Lebai Deraman. Pada tahun 1926, Dato’ Bahaman berpindah ke Kg. Peramu dan dikenali sebagai Tok Guru Peramu. Mat Kilau pula dikatakan berpindah ke Kg Aur Rompin, Tanjumg Medang, Kg. pasir Panjang, Kg. Batu Tering Pekan, Kg. Batu Lima Jalan Gambang. Mamat Kelubi dan Panglima Hitam tidak diketahui kisahnya. Dato’ Bahaman tinggal di Kg. Peramu sehingga kematiannya.

Pahlawan Berjasa Kian Dilupakan...

Mat Kilau Pahlawan Melayu

Pahlawan terbilang Melayu, Mat Kilau tidak hanya berjuang menentang penjajah di negeri kelahirannya, Pahang malah turut sama menyemarakkan semangat perjuangan bagi menebus maruah bangsa dan agama di negeri jiran iaitu Terengganu dan Kelantan.
mat_kilau



Nama penuh beliau adalah Mat Kilau bin Imam Rasu @ Tok Gajah. Ibu beliau adalah Mahda iaitu anak kepada Tok Kaut Burau. Mat Kilau dipercayai lahir dalam tahun 1865/1866 di Kampung Masjid, Pulau Tawar. Mat Kilau pandai mengaji, berzanji dan berdikir maulud serta belajar berdikir rebana yang dikenali sebagai ‘Dikir Pahang’. Hobi Mat Kilau adalah bermain gasing dan berlaga buah keras sehingga sentiasa menjadi juara di kampung beliau.
Sekitar 1890-an, berlaku pemberontakan rakyat di Pahang yang marah dengan tindakan British mengambil alih tugas memungut cukai dan hasil daripada pembesar negeri yang dilantik.
Antara yang menerima akibat daripada campur tangan pentadbiran British di Pahang adalah pembesar negeri iaitu Tok Gajah dan Datuk Bahaman.
Kesan daripada itu, bermula siri pemberontakan di kalangan pembesar negeri hingga mengakibatkan mereka diburu British kerana menentang penjajah.
Rentetan daripada peristiwa itu, British mengisytiharkan perang terhadap beberapa pembesar Pahang dan     mengarahkan mereka ditangkap serta dihukum.
mat_kilau2
Wajah Mat Kilau selepas dijumpai semula
Bagaimanapun, Mat Kilau dan beberapa pembesar lain berjaya melarikan diri dan menyebarkan semangat perjuangan menentang penjajahan di negeri jiran iaitu Kelantan dan Terengganu.
Perjuangan Mat Kilau mendapat sokongan padu daripada dua tokoh ternama kedua-dua negeri iaitu ulama terkenal Terengganu, Tokku Paloh dan Abdul Rahman Limbong serta Tok Janggut di Kelantan.
Melalui kerjasama dan sokongan padu yang diberikan, Mat Kilau yang agak mahir dengan ilmu hutan menyusup masuk ke Terengganu dan Kelantan melalui beberapa laluan khusus yang hingga ke hari ini laluannya masih tetap digunakan khususnya pencari gaharu.
Dipercayai, terdapat tiga laluan yang digunakan Mat Kilau untuk ke Terengganu dan Kelantan bagi mendapatkan sokongan penduduk di kedua-dua negeri itu.
Antaranya, laluan dari Kampung Bantal di Jerantut ke Kampung Pasir Raja di Dungun, laluan dari Jerantut ke Pasir Nering, Hulu Terengganu dan laluan dari Jerantut ke Gua Musang Kelantan.
Bagaimanapun, laluan yang kerap digunakan Mat Kilau dan pengikutnya bagi mengelakkan diri daripada British adalah laluan antara Kampung Bantal ke Kampung Pasir Raja.
Penentangan Mat Kilau yang berterusan terhadap British menyebabkan dia menjadi orang buruan yang paling dikehendaki dan dicop sebagai penderhaka oleh Inggeris menyebabkan beliau mengasingkan diri dan hidup berpindah randah dari satu tempat ke satu tempat.
Pada Oktober 1895, laporan akhbar Inggeris yang diterbitkan di Singapura, iaitu The Straits Times dan The Free Press menyatakan “Ketua Pendehaka, iaitu Datuk Bahaman ditahan pemerintahan Siam. The Free Press pula menyatakan Mat Kilau yang melawan ketika ditangkap cedera pada muka dan kepala. Kecederaannya dikatakan parah dan dia mati dalam perjalanan ke hilir Kota Bharu disebabkan kehilangan darah yang banyak.
Dengan tersiarnya berita kematian Mat Kilau oleh akhbar The Free Press keluaran 22 Oktober 1895, maka tamatlah riwayat pahlawan Melayu itu.
Bagaimanapun, apa yang sebenarnya berlaku tidak diketahui kecuali beberapa orang sahabatnya seperti Mustafa Awang Mat (Jusoh Rimau), Pendekar Tok Demali, Raja Ibrahim (Pak Him), Mat Kelantan dan beberapa orang lain.
Disebabkan Mat Kilau dicop sebagai ‘penderhaka’ oleh Inggeris, maka terpaksalah Mat Kilau mengasingkan diri dan berpindah dari satu tempat ke satu tempat dan akhirnya bermastautin di Batu 5, Jalan Kuantan-Gambang. Sejak 1930, Mat Kilau terpaksa menukar namanya buat beberapa kali dan akhirnya dia memakai nama Mat Siam.
Pada Disember 1969, Tuhan menggerakkan hati Mat Kilau yang pada itu memegang kad pengenalan diri K/P 2044778 dan bernama Mohamad bin Ibrahim, memperkenalkan dirinya yang sebenar. Untuk mengelakkan dirinya daripada menjadi tumpuan ramai, Mat Kilau bersetuju mengumumkan dirinya di kampung kelahirannya.
mat_kilau4
Atas daya usaha Omar Mat Kilau, pahlawan Melayu itu dibawa ke kampung asalnya iaitu Kampung Masjid, Pulau Tawar.
Pada Jumaat 26 Disember 1969, Mat Kilau pergi ke masjid di Kampung Masjid untuk bersembahyang Jumaat. Selepas sembahyang, Mat Kilau membaca Quran dan kemudian mengisytiharkan dirinya sebagai Mat Kilau.
Pengisytiharan itu menggemparkan orang ramai sehingga Kerajaan Pahang menubuhkan sebuah jawatankuasa untuk menyiasat. Jawatankuasa itu dibentuk pada 8 Januari 1970. Beberapa orang ditemuramah bagi membuktikan bahawa Mat Siam itu adalah Mat Kilau. Setelah disahkan, pada jam 10.30 pagi Khamis, 6 Ogos 1970, Mat Siam diisytiharkan sebagai Mat Kilau oleh Menteri Besar Pahang, Raja Tan Sri Yahya Mohd Seh.
Setelah empat hari pengumuman pengiktirafan terhadap dirinya dibuat, Mat Kilau meninggal dunia kerana uzur. Usianya ketika itu dipercayai 122 tahun. Dengan kematiannya itu, beliau tidak sempat menceritakan kisah perjuangannya lebih lanjut.

Tun Tan Cheng Lok


Kehidupan Awal

Dilahirkan di Jalan Heeren, Melaka, Tan ialah anak ketiga dalam sebuah keluarga yang terdiri daripada tujuh adik beradik. Pada tahun 1899, beliau memperoleh pendidikan Inggeris di Sekolah Tinggi Melaka, dan kemudiannya di Institusi Raffles di Singapura.
Selepas persekolahan, Tan bertugas sebagai seorang guru selama enam tahun sebelum meletakkan jawatannya untuk menjadi Penolong Pengurus di Ladang Getah Bukit Kajang Berhad, sebuah ladang getah yang dimiliki oleh saudara sepupunya. Pada tahun 1909 beliau memulakan syarikat sendiri yang mula-mulanya digelarkan Ladang Getah Melaka Pindah Berhad dan kemudiannya, Ladang Getah Melaka Bersatu Berhad dan akhirnya Ladang Ayer Molek Berhad.
Pada tahun 1913, Tan berkahwin dengan Yeo Yeok Neo, anak kepada Yeo Tin Thye, Presiden Persatuan Hokkien Melaka. Mereka dikurniakan dengan seorang anak lelaki, Tun Tan Siew Sin (bakal Menteri Kewangan Malaysia) dan empat orang anak perempuan.