
ALLAHUAKBAR!!!
Kehadiran sekumpulan pejuang dari Pahang yang menjadi buruan Inggeris pada tahun 1890-an dan bersembunyi di mukim Jeram turut menyemarakkan lagi semangatnya menentang penjajah. Tok Janggut yang juga panglima kepada Tengku Seri Maharaja Jeram Tengku Seliya terpengaruh dengan gerakan anti Inggeris yang dipelopori Tok Gajah, Mat Kilau, Datuk Bahaman dan Mat Kelantan. Dia juga tidak dapat menerima corak pentadbiran penjajah yang melantik 'orang luar' dikenali Abdul Latif sebagai Ketua jajahan yang dianggap tali barut penjajah. Kehadiran Abdul Latif yang menindas rakyat dengan pelbagai cukai tidak menyenangkannya. Ini kerana, tindakan itu menekan rakyat yang sebelum ini tidak pernah dibebankan dengan masalah itu.
Sebenarnya penentangan awal Tok Janggut bermula apabila beliau mengarahkan pengikutnya memulau pembayaran cukai kepada kerajaan Inggeris. Akibat daripada pemulauan tersebut cukai daerah Bukit Abal dan Gaal menurun secara mendadak daripada RM3.000 kepada $89.32. Ini membuktikan sentimen anti-Inggeris yang dipelopori Tok janggut berjaya mempengaruhi masyarakat Pasir Puteh.
Tindakan Kesultanan Kelantan memihak kepada Inggeris ketika menentang empayar Uthmaniah di Turki dalam Perang Dunia Pertama turut mengecewakan Tok Janggut. Dia menentang sikap mengikut telunjuk penasihat Inggeris. Baginya, pengisytiharan jihad oleh Syeikh al-lslam, Khayri Effendi, mesti dipatuhi kerana Inggeris adalah musuh umat Islam.
Pada 29 April 1915, Tok Janggut berkumpul dengan pengikutnya untuk bermesyuarat di rumah Tok Nik Bas di Kampung Tok Akib bagi mengatur strategi menentang Inggeris dan mengisytiharkan kemerdekaan Pasir Puteh. Bagaimanapun, pertemuan sulit itu diketahui Abdul Latif sehingga satu waran tangkap dikeluarkan oleh Ketua Rumah Pasung Pasir Puteh, Sarjan Che Wan Sulaiman untuk menangkap Tok Janggut. Sarjan Che Wan Sulaiman bersama dua anggotanya ke rumah Tok Nik Bas dan meminta Tok Janggut menyerah. Bagaimanapun, Tok Janggut enggan menyerah, sebaliknya terpaksa menikam Sarjan Che Wan sehingga mati.
Berikutan itu, Abdul Latif menghantar lapan lagi anggota untuk menahannya tetapi gagal. Abdul Latif bersama kuncunya, termasuk Kweng Tuan Muda Jeram dan Kweng Awang Hamat Semerak bertolak ke Kota Bharu melalui Sungai Semarak kerana bimbang diserang pemberontak. Mereka melaporkan kejadian itu kepada penasihat Inggeris Kelantan.
Tok Janggut dan pengikutnya menyerang bandar Pasir Puteh dan mengisytiharkan Tengku Besar Jeram sebagai raja, manakala dia sendiri sebagai Perdana Menteri. Dia sanggup menghadapi ancaman Inggeris dan tali barutnya, asalkan bumi Pasir Puteh merdeka. Penasihat Inggeris Kelantan, Langham-Carter, cuba memperalatkan Sultan Muhammad ke-IV untuk menyekat kemaraan Tok Janggut dan melemahkan pengaruh Inggeris di kalangan orang Melayu. Atas desakan Inggeris dan sokongan pembesar istana, Sultan Muhammad ke-IV mengisytiharkan Tok Janggut dan penyokongnya sebagai penderhaka. Waran tangkap, termasuk tawaran hadiah lumayan dikeluarkan kepada orang ramai untuk menahan Tok Janggut sama ada hidup atau mati.
Pada 5 Mei 1915, askar Inggeris dan sukarelawan Melayu Singapura mendarat di Kota Bharu dengan kapal Calmus. Mereka berkawal di Kuala Semerak bagi menghalang bantuan asing kepada Tok Janggut. Kapal Calmus yang menggunakan empat meriam membedil 25 das tembakan sehingga memusnahkan bandar Pasir Puteh. Serentak itu, Kolonel Brownlow menghantar 50 tentera berkawal di Tanah Merah dan Gunung, Bachok bagi menghalang pengikut Tok Tanggut melarikan diri.

Akhirnya, rumah Tok Janggut dan pengikutnya dibakar. Penduduk Pasir Puteh diperas dan dikenakan 'denda' di antara RM1.000 hingga RM3.000 dan didesak menjelaskannya dalam tempoh 15 hari. Jika perintah itu diingkari, rumah mereka akan dibakar. Tekanan itu memaksa Tok Janggut mengisytiharkan jihad. Inggeris meningkatkan usaha menangkap Tok Janggut dan penyokongnya sehingga akhirnya dia ditahan dan dihukum bunuh, manakala penyokong kuatnya dipenjara seumur hidup.
Kebangkitan Tok Janggut adalah peristiwa penting dalam sejarah Malaysia. Kebangkitannya adalah reaksi awal orang Melayu Kelantan menentang penjajah, walaupun rakyat dikerah oleh istana untuk menahannya dengan pelbagai tawaran hadiah lumayan. Tok Janggut gugur syahid, kakinya digantung ke atas palang, manakala kepalanya ke bawah. Mayatnya diarak ke seluruh negeri, badannya dikelar dengan pisau dalam keadaan yang amat menghinakan.
Walaupun penjajah dan kuncu-kuncunya menuduh Tok Janggut sebagai penderhaka, sejarah membuktikan Tok Janggut adalah pejuang bangsa dan tanah airnya. Perjuangan yang dipeloporinya menjadi obor kebangkitan umat Melayu bagi menuntut kemerdekaan.

No comments:
Post a Comment