“Rosli Dhoby dilabelkan sebagai pemberontak menentang Inggeris. Itu kata sebahagian pendapat yang tidak berfikir panjang,”
“Ya, memang beliau memberontak menentang Inggeris, tetapi siapakah Inggeris di tanah air sendiri?” kata Manaf Sepitang. Walaupun sudah berumur 73 tahun, namun masih bersemangat menceritakan sejarah perjuangan Rosli Dhobi.
“Inggeris adalah penjajah dan penjajah patut dihalau keluar dari tanah air kita,”
“Beliau bukan pemberontak, beliau ialah seorang pejuang bangsa Melayu dan pejuang kemerdekaan Sarawak walaupun tidak sepopular para pejuang Sarawak yang lain seperti Rentap dan Mat Salleh,” tegas Manaf mengakhiri perbualannya dengan penulis.
Sejarah Awal Perjuangan
Sebelum kedatangan Jepun, Sarawak dikuasai oleh penjajah rakyat British, Sir James Brooke dan keturunan keluarga Brooke. Sir James, Charles Brooke, Charles Vyner Brooke dan Sir Bertram adalah nama-nama keturunan beliau yang memerintah Sarawak sehingga tewas dalam perang dengan Jepun pada tahun 1941.
Perjuangan bangsa Melayu Sarawak bermula apabila Charles Vyner Brooke mahu menyerahkan Sarawak kepada Pejabat Kolonial di London selepas Perang pada tahun 1945.
Rosli Dhoby sorang anak muda Melayu yang dilahirkan pada tahun 1932 di Sibu, Sarawak.
Beliau mula menganggotai kumpulan Rukun 13 dalam Gerakan Pemuda Melayu Sarawak (GPMS) yang ditubuhkan bagi menentang penjajah Inggeris.
Usia beliau ketika itu baru mencapai 17 tahun dan beliau adalah seorang guru. Namun semangat juang bagi menentang British yang ingin kembali menguasai Sarawak selepas Perang Dunia Ke-2 cukup mengagumkan.
GPMS menggabungkan pemimpin-pemimpin Melayu Brunei dan Melanau Sarawak yang diketuai oleh Datuk Patinggi Abang Abdillah iaitu Perdana Menteri Sarawak di zaman Charles Vyner Brooke.
Sebelum keluarga Brooke menguasai Sarawak, keluarga Abang Abdillah adalah pemerintah Sarawak dan wakil Sultan Brunei, pengasas negeri Sarawak.
Rukun 13 ditubuhkan di Jalan Queensway, Sibu, pada 21 Februari, 1949. Tujuannya ialah untuk menikam Gabenor British, Duncan Stewart yang amat tidak popular di kalangan masyarakat bumiputera Sarawak kerana bersikap angkuh terhadap mereka.
Pembunuhan Gabenor British di Sarawak
Rukun 13 telah memilih Rosli Dhoby untuk menikam Sir Duncan yang dijadualkan melawat Sibu pada 3 Disember 1949.
Pada jam 9.30 pagi di hari tersebut, Rosli Dhoby telah menikam perut Sir Duncan dengan pisau tradisi Melanau yang dibubuh racun.
Rosli menjerit: “Keluar dari sini atau kamu mati!”
Rosli dan rakannya yang juga berketurunan Melanau, Morsidi Sidik, ditangkap oleh polis British.
Sir Duncan telah dihantar ke Hospital Sibu dan seterusnya ke Singapura untuk menerima rawatan rapi dan akhirnya meninggal dunia 7 hari selepas kejadian.
Pada 15 Disember, 1949, mahkamah menjatuhkan hukuman mati terhadap Rosli Dhoby dan 3 orang rakan beliau iaitu Morsidi Sidek, Awang Rambli dan Bujang Suntong.
Surat terakhir Rosli Dhoby
Berikut ialah surat yang ditulis beliau kepada keluarganya sehari sebelum digantung..
Kepada ibu bapaku yang dimuliai dan ditaati serta dicintai siang dan malam.
1. Selamat berpisah anakanda ucapkan di atas kematian anakanda yang dahsyat. Janganlah diingat-ingat dan dirayukan kerana itu memang sudah nasib dan takdir anakanda yang tak dapat dielakkan dan dimungkirkan lagi.
3. Ampunilah dosa dan kesalahan anakanda dari merah tapak kaki dipelihara ayahanda dan bonda sehingga hari perpisahan anakanda. Dan halalkanlah makan minum anakanda.
4. Selimutilah jenazah anakanda dengan Panji Kebangsaan Sarawak.
5. Segala perkakas tulis menulis, buku dan pakaian anakanda itu, berikan semuanya kepada Adik Aini.
6. Sementara anak kecil Fatimah, berilah dengan nama ROSLI sempena memperingati anakanda.
7. Sampaikan salam hormat dan maaf serta selamat dari anakanda kepada ibu tua dan bapa saudara anakanda.
8. Ayahanda dan bonda serta ahli keluarga sekalian janganlah lupa mengamalkan kebajikan dan mendirikan sembahyang untuk bekalan istimewa ke alam yang kekal.
Salam sembah dari anakanda.
Rosli Dhoby
1 Mac, 1950.
Nota:
Datuk Aini Dhoby adalah seorang pengasas Barisan Rakyat Jati Sarawak dalam tahun 1961 bersama dengan Tun Ahmad Zaidi, bekas Ketua Menteri Sarawak ketiga dan Yang Dipertua Negeri Sarawak keempat Tun Abdul Rahman Yaakub, dan Ketua Menteri Sarawak keempat Tan Sri Dr Abdul Taib Mahmud.
Barisan Rakyat Jati Sarawak atau BARJASA kemudian dinamakan Parti Bumiputra Sarawak dan akhirnya, Parti Pesaka Bumiputra Bersatu Sarawak atau PBB)
Allahyarham Awang Rambli adalah ayahanda kepada pelakon dan penyanyi veteran Dayang Sofia yang terkenal sebagai pelakon dalam filem Allahyarham Tan Sri P. Ramlee berjudul Tiga Abdul.
Dayang Sofia juga adalah bekas isteri kepada Datuk Aziz Sattar, pelakon siri filem Bujang Lapok yang juga kawan karib P. Ramlee.
Rosli dan Morshidi mati di tali gantung pada 2 Mac 1950 manakala Awang Rambli dan Bujang Suntong pada 23 Mac 1950.
Mereka telah dihukum gantung sampai mati di Penjara Kuching, Jalan Tabuan, Kuching serta dikebumikan disitu juga tanpa batu nisan. Ini semua angkara pihak British yang tidak mahu rakyat Sarawak memperingati mereka dan akan menyebabkan kebangkitan penentang yang lain.
Kesimpulan
Mereka mati kerana berjuang menuntut kemerdekaan Sarawak daripada British.
Pada 2 Mac, 1996 keempat-empat pejuang ini dikebumikan semula di Sibu. Upacara rasmi ini dihadiri oleh Yang Dipertua Negeri Sarawak ke-5 Allahyarham Tun Ahmad Zaidi Adruce Mohamad Noor, iaitu sahabat mereka yang juga berketurunan Melanau.
Sempena kemerdekaaan baru-baru ini, marilah kita menghayati susah-payah dan semangat pejuang bangsa kita yang mahu membebaskan negara dari jajahan kuasa asing.
Walaupun merdeka dari penjajah Inggeris, namun hakikatnya kita masih lagi dijajah pemikiran dan budaya. Tepuk dada tanya selera.
No comments:
Post a Comment